KUALA LUMPUR: Hujan dan ribut petir diramalkan di beberapa kawasan di
sekitar Cameron Highlands, Pahang pada sebelah petang hari ini sehingga
Khamis depan.
Jurucakap Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata sepanjang
tempoh itu, diramal tidak berlaku hujan pada sebelah pagi dan malam.
Purata suhu minimum sepanjang tempoh itu di Cameron Highlands diramal 16
darjah celcius, katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Jabatan itu menasihatkan orang ramai tidak berada di kawasan lapang dan
mengurangkan aktiviti pada waktu petang di kawasan terbabit bagi
mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat, amaran/nasihat boleh melayari laman sesawang MetMalaysia di www.met.gov.my, Facebook(www.facebook.com/malaysiamet), Twitter (www.twitter.com/malaysiamet) atau hubungi talian 1-300-22-1638 yang beroperasi 24 jam.
- BERNAMA